March 20motm 20wide 20cropped

Ahli Bulanan: temui Ahli Bulan Mac kami

Penyumbang tertinggi kita bagi bulan Mac ialah Abdul Raqiib Basiran, yang menggunakan nama pengguna arashi. Seorang anak Johor dan peminat bahasa, beliau kini mengejar pengajian tinggi sebagai calon ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Bahasa Arab di Universiti Sultan Zainal Abidin.


Sumbangan perkataan kegemaran kami oleh Raqiib

1. infotainment = inforia

2. talkshow = bicarawara

3. repost = ulang siar

4. viable = berdaya maju

5. fidget spinner = gasing tangan

6. parallel universe = semesta selari

7. time traveller = perentas masa


Bukan setakat itu sahaja sumbangan yang dibuat oleh Raqiib; untuk melihat senarai penuh terjemahannya, sila lihat perbualan di forum kami.



1. Apakah yang mencetuskan minat anda dalam bahasa Melayu?

Sebagai seorang berbangsa Melayu, sudah tentu saya minat akan bahasa Melayu kerana inilah bahasa ibunda saya. Di samping itu, boleh dikatakan, saya datang dari latar belakang keluarga yang meminati bahasa dan sastera Melayu. Contohnya, semasa bapa saya berkhidmat dahulu, beliau mencipta kolum renungan diri dan menghasilkan puisi untuk sebuah majalah persatuan. Berkenaan ahli keluarga yang lain, baru-baru ini, kakak saya terlibat dalam penulisan sajak secara kendiri dengan menerbitkannya di laman Wattpad. 


Selain keluarga, para pembimbing terdiri daripada guru dan pensyarah, sejak saya di bangku sekolah sehingga ke peringkat universiti, banyak membantu saya dalam menambahkan kemahiran berbahasa saya. Antaranya, mereka menghantar saya ke kem bahasa dan melantik saya sebagai ketua persatuan bahasa Melayu, menguruskan program berkaitan bahasa. Melalui pengalaman menyertai aktiviti tersebut, minat saya dalam bahasa terutamanya bahasa Melayu semakin bertambah. 


Akhir sekali, tidak dapat dinafikan, mempelajari bahasa selain bahasa Melayu juga turut meningkatkan semangat saya untuk lebih mendalami bahasa Melayu. Contohnya, saya yang berpendidikan bahasa Arab perlu menguasai bahasa Melayu dan bahasa Arab untuk memahami pecahan kelompok pengajian bahasa seperti kajian perbandingan linguistic dan penterjemahan.



2. Apakah faktor yang menarik minat anda untuk menyertai usaha Kamus Hidup Bahasa Melayu sebagai seorang ahli dan penyumbang?

Antara faktor utama yang menarik minat saya untuk menyertai usaha ini ialah melihatkan kesungguhan pihak Oxford untuk menghasilkan kamus dalam talian bahasa Melayu, yang jarang diketengahkan pihak lain. Kebanyakannya lebih bertumpukan kepada kamus bahasa lain yang dianggap penting untuk dipelajari dan dikuasai dalam arus dunia moden kini. Usaha yang dilaksanakan ini sebenarnya secara tidak langsung sebagai suatu pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa yang penting dan mempunyai nilai di peringkat antarabangsa. Oleh yang demikian, saya rasakan inilah suatu peluang dan kesempatan bagi saya untuk menaikkan bahasa Melayu dengan menyumbangkan perkataan atau mencadangkan makna baharu serta membantu komuniti maya turut serta mempelajari bahasa Melayu yang tercinta ini.



3. Pada pendapat anda, apakah manfaat yang boleh didapatkan oleh penutur Bahasa Melayu melalui Kamus Hidup ini?

Menurut saya, buat masa ini, manfaat utama yang boleh diperoleh melalui kamus ini adalah membantu penutur bahasa Melayu mencari padanan terjemahan perkataan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, di samping menambahkan pengetahuan bahasa Melayu dan meningkatkan kemahiran berbahasa mereka melalui rencana dan kuiz. Selain daripada manfaat utama itu, saya yakin sekiranya pihak Oxford gigih mendapatkan banyak pandangan daripada pelbagai pihak, manfaat kamus ini kelak dapat ditambah dan diperbaiki.



4. Apa pendapat anda tentang penggunaan Bahasa Melayu di alam maya?

Bagi saya, penggunaan bahasa Melayu di alam maya secara keseluruhannya masih di tahap rendah kerana bahasa Inggeris yang merupakan bahasa dunia dan bahasa teknologi telah mengatasinya. Banyak-banyak istilah dalam alam maya hari ini juga terpaksa dipinjam dari bahasa Inggeris. Oleh itu, penutur bahasa Melayu perlulah berganding bahu bagi menggiatkan penggunaan bahasa Melayu di alam maya. Kita tidak perlu malu untuk berkomunikasi di alam maya kerana bahasa ini merupakan cerminan dan citra/identity kita sebagai orang Melayu atau orang Malaysia.



5. Ada perkataan, ungkapan atau kata pepatah yang digemari?

Ungkapan yang saya gemari ialah “Melalui kemampuan seseorang itu menguasai banyak bahasa, banyak faedah yang akan diperolehinya”. Sebenarnya, ungkapan ini ialah ungkapan bahasa Arab dan saya cuba terjemahkannya dalam bahasa Melayu agar pembaca laman web dapat memahaminya. Untuk pengetahuan semua, ungkapan inilah yang menyedarkan tentang peri pentingnya mempelajari banyak bahasa dan cuba sedaya upaya menguasainya juga. Hal ini kerana banyak faedah yang akan kita peroleh daripadanya, antaranya dapat meluaskan kenalan ke serata dunia dan supaya tidak ditipu ketika berurusan dengan mana-mana individu.



6. Apakah perkhidmatan atau kandungan lain yang anda ingin kami tawarkan di laman web kami?

Saya dengan merendah diri mencadangkan agar pihak Oxford turut menyediakan kamus konteks. Hal ini adalah berdasarkan pemerhatian saya melihatkan kelemahan kamus lain yang hanya mampu memberikan terjemahan secara umum tetapi gagal menawarkan terjemahan yang sesuai apabila melibatkan konteks atau bidang tertentu. Di sini, para pelajar bahasa akan cenderung melakukan kesalahan dalam penggunaan bahasa. Contoh-contoh ayat yang ringkas juga perlu disertakan bersama entri perkataan yang ada dalam kamus bagi menambahkan kefahaman terhadap sesuatu perkataan atau membezakan penggunaan perkataan mengikut konteks. Kandungan yang telah sedia ada seperti rencana dan kuiz pula hendaklah dikekalkan dan sentiasa dikemaskini dan ditambah baik dari semasa ke semasa.



Nak cuba menyumbangkan perkataan kepada kamus kami? Lihat infograf ini yang membentangkan cara menggunakan borang sumbangan kamus.

The opinions and other information contained in OxfordWords blog posts and comments do not necessarily reflect the opinions or positions of Oxford University Press.

Powered by Oxford