Rice2edited

Penyediaan “Lihing” Ketika Pesta Kaamatan


Pesta Kaamatan atau nama lain Tadau Kaamatan, atau dalam bahasa Kadazan, Magavau, merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati Bambazon atau semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi suku kaum Kadazan-Dusun sejak zaman-berzaman. Perayaan Magavau ini biasanya diadakan selepas musim menuai padi selesai.

Antara hidangan popular semasa perayaan ini ialah minuman tapai atau Kinomol, iaitu sejenis arak tradisional. Tapai merupakan minuman tradisi yang diperbuat sama ada daripada beras (nasi) atau ubi kayu. Apa yang akan dikongsi secara terperinci di sini ialah cara-cara penyediaan minuman tapai yang diperbuat daripada beras. Terdapat banyak cara penyediaan dan pantang larang yang perlu dipatuhi dalam proses penyediaan minuman tapai beras. Cara penyediaan dan pantang larang berbeza dari kawasan ke kawasan. Berikut adalah cara penyediaan dan pantang larang yang diamalkan oleh suku kaum Kadazan-Dusun di kawasan Penampang, Sabah, Malaysia. Di sini, minuman tapai beras dikenali sebagai Lihing.


Bahan-Bahan dan Cara Pembuatan

  1. Satu gantang atau 3.5 kg beras pulut dimasak dengan air secukupnya. Ini adalah penting agar beras tidak terlampau masak kerana ia akan merosakkan keaslian rasa Lihing.

  2. Setelah masak, nasi itu akan dituang dan diratakan di atas sebidang tikar atau sebuah dulang yang dipanggil kohintung, dan dibiarkan menyejuk untuk beberapa jam.

  3. Apabila nasi telah suam-suam kuku, yis yang ditumbuk dan dikisar halus akan ditambah dan digaul rata, dankemudian dipindahkan ke baldi plastik bertutup.



Proses Penapaian

Secara tradisi, baldi plastik tersebut perlu dicuci dan digosok bahagian dalamnya dengan daun jambu batu terlebih dahulu. Sebelum campuran nasi dimasukkan, baldi dikeringkan di bawah sinar mentari. Baldi kemudiannya ditutup dengan daun pisang atau daun tarap (atau, pada masa kini, dengan beg plastik berikat gelang getah).

Pelbagai pantang larang perlu dipatuhi semasa membuat tapai beras. Seseorang tidak dibenarkan bersumpah, bergaduh atau bercakap buruk dengan nada yang kuat semasa proses memasak. Pantang larang lain lebih kepada amalan kebersihan seperti tidak dibenarkan menyentuh limau atau benda-benda masam yang dipercayai boleh menyebabkan Lihing bertukar menjadi masam. Kebersihan diri amat dititikberatkan, dan pada zaman dahulu seluruh ahli keluarga sering tidak dibenarkan memasuki rumah jika ibu sedang menyediakan Lihing. Kebiasaannya, seketul arang atau sebilah pisau kecil yang dikenali sebagai pa'is diletakkan di atas baldi penapaian untuk menghalang roh-roh jahat daripada memasuki Lihing.


Hasil Penapaian

Selepas dua minggu, Lihing mula terbentuk dan jika dibiarkan menapai selama satu bulan, ianya sudah boleh dihidangkan. Untuk mengumpul Lihing, suku kaum Kadazan-Dusun membuat penapis daripada buluh (tataas) berbentuk melengkung yang diletakkan di dalam bekas-bekas penapaian untuk bertindak sebagai penuras. Lihing selalunya diminum dari cawan buluh tradisional yang dipanggil suki.  


Penyimpanan Lihing

Lihing akan matang dengan sempurna bila disimpan dalam bekas penapaian yang sesuai dan  boleh  disimpan  untuk  beberapa tahun. Proses pematangan ini menyaksikan Lihing bertukar warna dari emas kekuningan menjadi hitam. Sesetengah orang menanam bekas-bekas penapaian Lihing dan hanya membukanya ketika saat-saat istimewa sahaja. Proses ini akan meningkatkan kadar kandungan alkohol ke tahap tertinggi yang boleh dicapai dalam proses penapaian semula jadi.  




The opinions and other information contained in OxfordWords blog posts and comments do not necessarily reflect the opinions or positions of Oxford University Press.

Powered by Oxford