Perkataan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang Sukar atau Tidak Dapat Diterjemah

Bahasa Malaysia atau bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa rasmi di Malaysia sejak 500 tahun lampau. Pada zaman kesultanan Melaka, bahasa Melayu merupakan bahasa perantara dunia yang digunakan dalam perdagangan antara saudagar dari timur dan barat. 


Sebagai bahasa pertuturan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, perkataan-perkataan yang diterjemahkan daripada bahasa asing seperti bahasa Inggeris memainkan peranan yang penting dalam perkembangan bahasa Malaysia agar kekal relevan sepanjang zaman. Pada kali ini, kami memperkenalkan beberapa perkataan bahasa Malaysia dan Inggeris yang sukar dan tidak dapat dialih bahasa.


Istidraj


Dalam bahasa Malaysia, istidraj membawa maksud nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan untuk menjatuhkan martabat seseorang di dunia atau di akhirat. Perkataan ini tidak dapat diterjemah kepada bahasa Inggeris. Contoh ayat yang sesuai ialah:


“Kekayaan yang dinikmati oleh hartawan yang bakhil itu ialah satu istidraj yang menunggu bala daripada Tuhan”, ujar Ali kepada rakannya.


Lopek


Lopek bermaksud sesuatu yang rendah kualitinya. Dalam bahasa Inggeris, ia paling hampir dengan ‘low quality’ atau ‘knock off’.


Khilaf


Selain bermaksud kesilapan yang dilakukan oleh seseorang, khilaf juga merujuk kepada perbezaan pendapat antara dua atau beberapa pihak. Unsur semantik perkataan pinjaman daripada bahasa Arab ini sukar dikekalkan melalui terjemahan kepada bahasa Inggeris. Perkataan bahasa Inggeris yang paling hampir ialah ‘contrariety’.


Unggis


Perkataan ini bermakna menggigit sesuatu sedikit demi sedikit oleh seseorang. Contoh ayat yang sesuai ialah seperti berikut:

Ali menggunggis sebatang tebu di tangga.


Terjemahan bahasa Inggeris yang hampir sama, iaitu ‘biting’ atau ‘gnawing’, tidak memiliki perincian yang khusus dalam perbuatan menggigit seperti ‘mengerip’ dan ‘mengerumit’ yang merujuk kepada gigitan haiwan seperti arnab.


Caras


Perbuatan mencaras bermaksud mengambil hak atau merampas kedudukan orang lain dengan cara haram dan tidak beretika. Perkataan ini tidak dapat diterjemahkan kepada bahasa Inggeris, walaupun bahasa Inggeris memiliki perkataan yang hampir sama seperti ‘steal’ dan ‘snitch’.


Pengenalan Penterjemahan Perkataan Bahasa Inggeris


Peminjaman perkataan daripada bahasa asing ialah perkara yang biasa sekiranya perkataan bahasa asing sukar atau tidak dapat diterjemah. Antara kriteria peminjaman perkataan daripada bahasa lain ialah:

  1. Ketiadaan perkataan Bahasa Malaysia yang merujuk kepada benda, perkara atau kejadian yang penting.
  2. Perkataan dari bahasa asing lebih sesuai dan popular berbanding perkataan Bahasa Malaysia, contohnya ilmu falak digantikan dengan ilmu astronomi
  3. Perkataan Bahasa Malaysia tidak menepati maksud sebenar perkataan asing, seperti bahasa teknologi Barat contohnya komputer dan Internet.


Plug-in

Walaupun perkataan ‘plug’ bermaksud palam, namun ‘plug-in’ tidak dapat diterjemahkan sebagai ‘palam masuk’. Perkataan ini banyak digunakan dalam istilah teknologi seperti pembinaan laman sesawang dan sistem operasi. Dalam industri elektronik, ia bermaksud perisian yang memiliki fungsi khusus dalam program yang sedia ada.


Program yang menyokong plug-in boleh diubahsuai menurut kehendak pengatur cara dan pengguna. Sebagai contoh, pelayar Internet seperti Google Chrome memiliki plug-in yang boleh dimuat turun oleh pengguna, seperti penghalang iklan (adblocker). Antara terjemahan yang dicadangkan untuk perkataan ini ialah ‘pasang suai’.


Insight


Perkataan ini bermaksud kemampuan untuk memahami sesuatu dengan teliti dan mendalam. Ia dapat diterjemahkan kepada bahasa Malaysia sebagai ‘celik akal’. Namun begitu, maksud semantik perkataan ini sedikit luntur melalui terjemahan ini. 


Serendipity


Apakah perkataan yang disebut oleh orang Inggeris apabila mendapat atau menemui nikmat dan suasana yang menyenangkan hati secara tiba-tiba tanpa diminta? Ya, perkataan itu ialah ‘serendipity’.

 

Perkataan ini amat sukar untuk diterjemahkan kepada bahasa Malaysia. Perkataan ini merujuk kepada fenomena yang menyenangkan hati dan berlaku dengan penuh unsur kejutan. Sebagai contoh, perkataan ‘serendipity’ ini merujuk kepada penemuan lukisan berharga ketika mengemas loteng!


Assurance


Perkataan ‘insurance’ yang telah diterjemahkan kepada bahasa Malaysia sebagai ‘insurans’ telah diketahui umum. Namun bagaimana pula dengan perkataan ‘assurance’? Kedua-duanya bererti ‘guarantee’ iaitu ‘jaminan’! Namun begitu, insurans bermaksud jaminan perlindungan sekiranya malapetaka seperti kemalangan jalan raya berlaku.


Jangan keliru dengan perkataan ‘ansuran’ dalam bahasa Malaysia! ‘Assurance’ ialah istilah yang sering digunakan oleh firma audit dan perakaunan seperti Deloitte dan Price Waterhouse Cooper (PWC) yang merujuk kepada jaminan bahawa sesuatu kejadian yang tidak diingini tidak akan berlaku. Contohnya, ‘risk assurance’ merupakan jaminan perlindungan terhadap keutuhan sistem yang dikaji daripada risiko mendatang agar ia tidak berlaku.


Make-over


Sekiranya diterjemah secara langsung kepada bahasa Malaysia, ia bermaksud ‘membuat lebih’. Namun begitu, ia bermakna perubahan yang dilakukan untuk meningkatkan daya tarikan sesuatu. Perkataan ini boleh ditafsirkan sebagai ‘ubahsuai’ dalam industri reka bentuk dalaman atau ‘solekan’ untuk meningkatkan seri wajah wanita.


Sesungguhnya penterjemahan bahasa merupakan satu industri yang menarik dan mencabar seiring dengan perkembangan bahasa dan komunikasi antara penutur bahasa-bahasa yang terdapat di dunia ini. Cabaran yang tidak ternoktah ini menjadi bukti bahawa setiap bahasa memiliki keistimewaan yang tidak terdapat dalam bahasa lain.

See more from Kamus