Dari Manakah Asalnya Nama-Nama Ibu Negeri di Malaysia?

Malaysia ialah sebuah negara di Asia Tenggara yang telah ditubuhkan pada tahun 1963.  Sejarah penubuhan negara ini boleh dijejak sehingga berkurun lampau sebelum penubuhan empayar Melaka. Selain daripada kepelbagaian budaya dan bangsa, negara ini memiliki ibu-ibu negeri dengan asal-usul yang menarik untuk diketahui.


Kangar


Perlis ialah negeri terkecil dan paling utara di Semenanjung Malaysia. Kangar telah menjadi pusat pemerintahan Perlis setelah negeri ini menjadi entiti yang terpisah daripada pentadbiran kesultanan Kedah.

 

Terdapat dua teori tentang asal-usul nama Kangar. Pertama, ia dipercayai berasal daripada nama sebuah pohon yang dikenali sebagai pokok ‘kangar’. Para saudagar dan pedagang pada zaman dahulu menggelar pusat perniagaan mereka sebagai Pangkalan Pohon Kangar.


Seterusnya, nama Kangar juga dipercayai diambil daripada sejenis burung helang yang mengeluarkan bunyi “ka-ngor” yang banyak didapati di bandar Kangar.


Fakta: negeri Perlis terkenal dengan mangga Harum Manis.


Alor Setar


Alor Setar merupakan sebuah bandar raya yang berfungsi sebagai ibu negeri Kedah moden. Nama Alor Setar ialah kombinasi dua  perkataan, iaitu ‘alor’ dan ‘setar’.


‘Alor’ atau ‘alur’ bermaksud aliran air, lekuk atau lurah pada tanah, dan aluran. ‘Setar’ pula ialah sejenis spesies pokok yang dikenali dengan nama saintifiknya Bouea Macrophylla.


Fakta: negeri Kedah merupakan negeri tertua di Malaysia.


Georgetown


Kapten Francis Light menukarkan nama lama kawasan ini, iaitu Tanjong, kepada Georgetown pada tahun 1786 selepas beliau menjadikan kawasan ini penempatan British di Pulau Pinang. Nama Georgetown berasal daripada Gabenor British pertama Pulau Pinang, iaitu Sir George Alexander William Leith.


Fakta: negeri Pulau Pinang dahulunya sebuah wilayah negeri Kedah.


Ipoh


Nama ibu negeri Perak ini diinspirasikan daripada nama pokok yang menghasilkan getah yang beracun, iaitu pokok Ipuh. Getah beracun ini digunakan oleh orang asal untuk menyumpit haiwan buruan di hutan, selain digunakan dalam penyediaan senjata untuk menyerang dan mempertahankan diri daripada musuh.

 

Fakta: etnik Cina merupakan populasi terbesar di bandar raya Ipoh.


Shah Alam


Sebuah bandar raya di negeri termaju di Malaysia, kawasan yang dahulunya dikenali sebagai Batu Tiga telah dibuka sebagai ibu negeri Selangor setelah Kuala Lumpur dijadikan sebuah wilayah persekutuan pada tahun 1963. Nama Shah Alam yang bermaksud ‘raja seluruh dunia‘ dalam bahasa Arab ini diambil sempena nama salah seorang sultan Selangor, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj.


Fakta: Shah Alam diberi julukan ‘Bandar Raya Anggerik’.


Bandar Raya Melaka


Melaka telah wujud sejak abad ke-14 lagi sebagai ibu negeri yang menempatkan empayar paling agung dalam sejarah silam Tanah Melayu. Terdapat beberapa versi berkaitan asal-usul nama Melaka. Versi yang paling popular adalah bahawa ia berasal daripada Pokok Melaka yang menjadi tempat teduhan Parameswara, pengasas kesultanan Melaka yang menyaksikan keberanian seekor kancil menendang anjing perburuan baginda.


Fakta: Melaka merupakan pelabuhan terkemuka di dunia pada abad ke-15.


Johor Bahru


Dahulunya dihuni oleh golongan nelayan, nama asalnya, iaitu Tanjung Puteri, telah diubah kepada Johor Bahru pada tahun 1855 oleh Temenggong Daeng Ibrahim, pengasas kesultanan Johor moden. Ia merupakan cantuman dua perkataan: ‘Johor’ bermaksud ‘jauhar’ atau ‘permata berharga’ dalam bahasa Arab dan ‘Bahru’ bermaksud ‘baru’ atau ‘baharu’.


Fakta: Johor Bahru ialah bandar raya kedua terbesar di Malaysia.


Kuantan


Kuantan mula wujud pada pertengahan kurun ke-19 dan kesahihan asal usul nama ibu negeri kedua Pahang selepas berpindah dari Kuala Lipis pada tahun 1976 ini agak sukar untuk dikenal pasti.


Pada abad ke-19, Kuantan telah menerima kemasukan pendatang dari Sumatera, dan nama Kuantan dipercayai diambil sempena nama Kuantan Singingi, sebuah daerah di Kepulauan Riau, Indonesia.


Fakta: Kuantan ialah bandar terbesar di pantai timur Semenanjung Malaysia.


Kuala Terengganu


Ibu negeri Terengganu pada mulanya bertapak di hilir Sungai Terengganu sebagai pelabuhan dagangan yang penting  di Laut China Selatan.


Pelbagai versi asal usul Terengganu menjadi topik perbincangan masyarakat setempat. Berdasarkan hikayat setempat, nama negeri Terengganu berasal daripada cantuman perkataan ‘taring’ dan ‘anu’ yang bermaksud ‘taring itu’ dan merujuk kepada penemuan sejenis taring haiwan misteri  pada zaman silam.


Fakta: Kuala Terengganu juga dikenali sebagai Bandar Raya Warisan Pesisir Air.


Kota Bharu


Ibu negeri Kelantan ini telah diasaskan pada tahun 1844 oleh Sultan Muhammad II. Kota Bharu merupakan cantuman dua perkataan, iaitu ‘kota’ yang bermaksud bandar, ibu negeri dan tembok pertahanan, serta  ‘bharu’ yang bermakna baru.

 

Oleh itu, pengkaji membuat kesimpulan bahawa Kota Bharu merujuk kepada pusat pentadbiran Kelantan yang baru dan lebih selamat menggantikan Kota Saba yang sering dilanda banjir.


Fakta: Bandar Raya Islam Kota Bharu ialah Bandar Diraja Kelantan.


Kuching


Nama ibu negeri terbesar di Malaysia ini dipercayai berasal daripada nama Sungai Kuching yang mengalir berhampiran dengan Muzium Cina. Sungai ini digelar dengan nama tersebut sempena pokok mata kucing yang banyak terdapat di Bukit Mata Kucing dan spesies kucing hutan yang sering ditemui di sungai tersebut.


Fakta: terdapat tugu seekor kucing di bandar ini.


Kota Kinabalu


Dahulunya dikenali sebagai Jesselton, nama ibu negeri Sabah yang terletak di kaki Gunung Kinabalu ini berasal daripada dua perkataan, iaitu ‘kota’ dan ‘Kinabalu’. ‘Kinabalu’ atau ‘Ki Nabalu’ bermaksud ‘kewujudan semangat orang mati’ dan merujuk kepada Gunung Kinabalu yang dianggap suci oleh penduduk setempat.


Fakta: Gunung Kinabalu ialah gunung tertinggi di Malaysia.

See more from Komuniti