Makanan Kebanggaan Rakyat Malaysia

Malaysia sememangnya terkenal di seluruh dunia dengan kepelbagaian budaya berbilang etnik yang dapat dilihat melalui komunikasi harian, dan sebagai sebuah syurga makanan yang mempunyai ratusan jenis makanan yang merangsang deria bau dan rasa. Makanan ini yang dahulunya hanya dinikmati oleh kaum-kaum tertentu di Malaysia kini menjadi sesuatu yang dibanggakan oleh rakyat Malaysia.


Nasi Lemak


Nasi Lemak ialah makanan asli yang berasal dari Semenanjung Malaysia. Pelbagai teori wujud berkenaan dengan asal usul nama nasi lemak, namun dipercayai bahawa teori yang paling kuat adalah bahawa ia berasal daripada cantuman dua perkataan iaitu ‘nasi’ dan ‘lemak’. ‘Nasi’ merujuk kepada bahan utama dalam penyediaan nasi lemak iaitu beras yang telah siap ditanak. ‘Lemak’ pula merujuk kepada tekstur dan rasa berlemak daripada santan kelapa. Selain daripada santan, beras akan ditanak atau dikukus bersama daun pandan, serai, dan halia  sebelum dibalut dengan daun pisang atau kertas pembungkus.


Nasi Lemak kini menjadi pilihan rakyat Malaysia sebagai juadah sarapan. Ia dimakan bersama sambal, ikan bilis, kekacang, dan telur rebus. Juadah ini boleh ditemui di kafe bertema Malaysia di kota London dan Paris!



Rendang


Rendang ialah juadah pilihan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pada tahun 2011, rendang diiktiraf sebagai salah satu daripada 50 Makanan Terlazat di Dunia oleh agensi berita CNN International!


Hidangan tradisional ini berasal dari wilayah Minangkabau, Indonesia, dan diperkenalkan oleh pendatang dari wilayah tersebut di Malaysia sebelum zaman kemerdekaan lagi. Bahan-bahan seperti bawang merah dan bawang putih, halia, lengkuas, serai, cili, dan kunyit akan ditumis sebelum dikacau bersama santan. Proses masakan ini mengambil masa antara 30 minit ke satu jam. Rendang daging atau rendang ayam lebih enak dimakan bersama ketupat atau lemang.



Nasi Kandar


Juadah ini tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Nasi Kandar berasal dari Pulau Pinang dan menjadi pilihan utama masyarakat di Malaysia Utara untuk makan tengah hari. Nama juadah masyarakat India Muslim ini diinspirasikan daripada perkataan ‘nasi’ dan ‘kandar’. ‘Kandar’ bermaksud kayu yang diletakkan di atas bahu untuk membawa barangan dengan seimbang. Pada zaman dahulu, penjual berketurunan India Muslim akan menjaja nasi kandar di keliling bandar dengan kayu kandar yang diletakkan di atas bahu.

 

Nasi kandar ialah kombinasi lauk pauk berasaskan nasi serta pelbagai jenis kari ikan dan daging. Ratusan restoran nasi kandar boleh didapati di Pulau Pinang, antaranya Restoran Nasi Kandar Line Clear.



Roti Canai


Roti canai atau roti prata diperkenalkan oleh masyarakat Malaysia yang berasal dari India Selatan. Perkataan ‘canai’ merujuk kepada perbuatan tukang masak yang menguli, membentuk, dan menebarkan roti leper yang berasaskan gandum dan telur sebelum digoreng di atas kuali panas.


Makanan ini selalunya dimakan pada waktu pagi bersama kuah dal atau kari. Kini, roti canai diolah dengan pelbagai inti dan boleh didapati dalam versi roti telur, roti pisang dan roti bom!



Dim Sum


Makanan kegemaran masyarakat Cina Kantonis di Malaysia ini memiliki maksud intrinsik yang amat mendalam. Dalam dialek Kantonis, ‘dim’ bermaksud ‘sentuhan’, dan ‘sum’ pula bererti ‘hati’. Secara kolektif, dim sum bermaksud ‘sentuhan hati’ yang merujuk kepada juadah bersaiz kecil yang dinikmati bersama keluarga dan sahabat handai ketika makan pagi. Dim sum secara tradisinya juga dinikmati ketika sesi ‘yum cha’ atau minum teh.


Hidangan dim sum kebiasaannya terdiri daripada pau kukus berintikan daging khinzir, ladu beras atau gandum, dan gulungan mi beras. Dim sum akan dimasak dengan kaedah kukus dan goreng sebelum dihidangkan dalam bekas makanan yang diperbuat daripada buluh. Resepi asal kini diubah suai dengan pilihan bahan halal berasaskan daging lembu, ayam, dan makanan laut supaya ia boleh dinikmati oleh seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.



Yee Sang


Sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia tidak lengkap tanpa ucapan ”Gong Xi Fai Cai” dan juadah yee sang. Juadah tradisional yang unik ini merupakan simbol tuah, kekayaan, kemakmuran, serta panjang umur. Perkataan ‘yee sang’ atau juga dikenali sebagai ’yu sheng’ bermaksud ‘ikan mentah yang banyak’. Dalam bahasa Cina, ‘ikan’ dikaitkan dengan homofon ‘banyak’ atau ‘kaya’. Secara tidak langsung, yee sang bermaksud ‘pertambahan kekayaan dan kemakmuran’.


Yee sang diperbuat daripada hirisan sayuran seperti lobak merah, dan ikan mentah. Sesebuah keluarga akan berkumpul di sekeliling juadah ini dan menggunakan penyepit untuk menggaul hidangan ini dengan lambungan setinggi mungkin di udara. Lambungan ini simbolik akan tuah dan kegembiraan masyarakat Cina.



Ambuyat


Ambuyat ialah makanan yang amat terkenal di kepulauan Borneo dan merupakan makanan rasmi negara Brunei. Juadah yang juga diberi nama ‘linut’ ini diperbuat daripada tepung sagu yang diambil daripada bahagian dalam pohon rumbia. Ambuyat secara semula jadinya berasa tawar. Oleh itu ia dimakan bersama pelbagai jenis sos yang mengandungi belacan dan udang kering.


Cara memakan ambuyat sememangnya unik kerana garpu buluh yang kelihatan seperti penyepit kayu digunakan untuk memakan ambuyat oleh kaum Tionghua.



Malaysia – Syurga Pemburu Makanan

Juadah yang menyelerakan di Malaysia tidak terhad kepada makanan yang ditulis dalam artikel ini sahaja. Sekiranya anda berada di Malaysia, anda akan menemui makanan yang lazat dan yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hayat!

See more from Kebudayaan dan masyarakat