Tempat Bersejarah di Malaysia yang Harus Dikunjungi

Sebelum mula rancangan percutian, sudah menjadi kebiasaan para pelancong untuk menetapkan tema pelancongan yang akan dinikmati. Malaysia merupakan destinasi yang ideal bagi semua pelancong termasuklah mereka yang ingin menikmati pelancongan bertemakan warisan dan sejarah.


Sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2020 dengan slogan Malaysia, Truly Asia, kami ingin memperkenalkan lokasi bersejarah yang wajib anda lawati di Malaysia!



Muzium Negara


Kembara sejarah Malaysia pastinya tidak lengkap tanpa lawatan ke Muzium Negara. Dahulunya dikenali sebagai Muzium Negeri Selangor, pelancong dapat menyaksikan detik-detik bersejarah Malaysia dari zaman prasejarah sehingga pembentukan Malaysia. Pihak muzium menyediakan lawatan berpandu untuk membawa para pengunjung menerokai sejarah Malaysia dengan mendalam.


Muzium ini terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur dan amat mudah untuk dikunjungi dengan adanya jaringan pengangkutan awam.



Kampung Baru, Kuala Lumpur


Saat anda menjejakkan kaki di kampung ini, pastinya anda akan mengalami perasaan seakan-akan kembara rentas masa! Kampung Baru merupakan satu-satunya kawasan yang masih kekal dengan warisan kehidupan tradisional masyarakat Melayu era 1980-an di tengah bandar raya Kuala Lumpur yang kian ditelan arus pemodenan.


Lawatan berpandu di Kampung Baru merupakan peluang keemasan untuk pelancong melihat sendiri warisan seni bina Melayu tradisional seperti Rumah Tuan Mat dan Masjid Jamek Kampung Baru. Jangan lupa untuk berehat sebentar sambil menikmati nasi lemak yang enak di Restoran Nasi Lemak Antarabangsa!



Bandar Melaka, Melaka


Ibu negeri yang terkenal dengan pahlawan lagenda Hang Tuah ini terletak kira-kira 150 kilometer dari Kuala Lumpur. Pelayar Portugis, Tome Pires, memberi julukan ‘Venice Timur’ kepada Melaka dek kemakmuran Melaka hasil daripada perdagangan antarabangsa sejak abad ke-13 sehingga kejatuhan kesultanan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511.


Bandar Melaka telah ditadbir bersilih ganti oleh Portugis, Belanda, Inggeris, dan Jepun. Kewujudan pengaruh barat dan timur dapat dilihat pada monumen dan bangunan bersejarah seperti Stadhuys, Kota A Famosa, dan Muzium Baba dan Nyonya. Keseluruhan pemandangan Bandar Melaka dapat ditinjau dari Menara Taming Sari. Pada tahun 2003, bandar ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.



Georgetown, Pulau Pinang


Bandar yang memiliki kepadatan masyarakat Cina tertinggi di Malaysia ini berjaya mengekalkan warisan kebudayaan timur dan barat yang wujud sejak 500 tahun lampau, walaupun kian membangun dengan pesat sebagai ibu negeri Pulau Pinang. Asimilasi kebudayaan Cina, India, Melayu dan barat dapat dilihat melalui ribuan bangunan yang dipelihara dengan baik seperti Rumah Agam Peranakan Pinang dan kuil Kek Lok Si. Taman Negara Pulau Pinang menyediakan lebih daripada seribu spesies flora dan 200 spesies fauna untuk tatapan pencinta alam semula jadi.


Setelah puas berjemur di pantai Batu Feringgi, pelancong dapat menjamu selera di Jalan Gurney dengan pelbagai pilihan makanan seperti char kuetiau dan nasi kandar dengan harga yang berpatutan!



Lembah Lenggong, Perak


Para pelancong sering terlepas pandang akan tempat ini yang diberi pengiktarafan Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2012, walaupun ia memiliki kepentingan yang besar pada sejarah peradaban prasejarah di Semenanjung Malaysia. 


Penemuan kapak tangan di Bukit Bunuh, iaitu tapak impak meteorit berusia 1.83 juta tahun, dan rangka Orang Perak berusia 11,000 tahun yang dikebumikan dengan kaki berlipat berusia 11,000 tahun di Gua Gunung Runtuh menjadi bukti bahawa Lenggong ialah salah satu tapak peradaban manusia zaman Paleolitik terawal di Asia Tenggara. Pelancong boleh memohon kebenaran khas daripada pihak muzium untuk mengunjungi tapak arkeologi khas seperti Gua Harimau dan Gua Kajang.



Lembah Bujang, Kedah


Siapa sangka bahawa industri besi telah berlangsung di Malaysia sejak kurun keenam sebelum Masihi? Penemuan lebih daripada dua juta tuyere di Sungai Batu dan relau besi purba di Jeniang melalui ekskavasi arkeologi di tapak tamadun tertua bangsa Melayu ini membuka lembaran baru dalam kajian sejarah Malaysia. Dahulunya, Lembah Bujang hanya dikenali dengan candi-candi Hindu-Buddha yang wujud sejak abad ke-12.


Sebagai tapak arkeologi terkaya di Malaysia, Lembah Bujang memiliki peninggalan sejarah yang sangat berharga. Muzium Arkeologi Lembah Bujang mempamerkan pelbagai arca dan artifak seperti seramik Parsi, tembikar, dan kaca dari zaman kerajaan Kedah Tua dan empayar Srivijaya. Bagi pengunjung yang menggemari aktiviti luar, mereka boleh melawat candi-candi purba yang bertebaran di mukim Merbok, seperti Candi Bendang Dalam, dan membina replika relau purba di Sungai Batu. 



Seri Menanti, Seremban


Bandar diraja Negeri Sembilan ini terkenal dengan tiga buah istana, khususnya Istana Besar, yang menjadi tempat persemayaman Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, dan Istana Lama Seri Menanti.


Istana Lama Seri Menanti merupakan bangunan warisan kebangsaan Malaysia. Ia dibina menggunakan kayu cengal dan belian berasaskan seni bina Minangkabau dengan bumbung melengkung seperti tanduk kerbau. Uniknya, istana ini berdiri teguh sehingga kini tanpa sebatang paku! 



Taman Negara Niah, Sarawak


Taman negara ini terkenal dengan peradaban manusia prasejarah yang dibuktikan dengan penemuan rangka manusia berusia 40,000 tahun. Para pelancong berpeluang menerokai rangkaian Gua Niah yang diiktiraf sebagai salah satu gua terbesar di dunia! Gua ini menjadi kediaman ribuan burung lelayang dan kelawar yang menghasilkan baja guano dan sarang burung untuk dijual oleh penduduk setempat.


Pengalaman menikmati suasana hening hutan hujan di sekeliling rumah panjang bersama masyarakat Iban di Sarawak merupakan satu peluang yang tidak boleh dilepaskan oleh pengunjung.

See more from Kebudayaan dan masyarakat