Kata Ganda dalam Bahasa Melayu

Secara asasnya, penggandaan ialah satu proses pembentukan kata di mana kata dasar bagi sesuatu perkataan mengalami pengulangan, sama ada pada keseluruhan perkataan atau hanya pada bahagian yang tertentu sahaja. Perkataan yang melalui proses pengulangan ini dikenali sebagai kata ganda. 


Kata ganda boleh berbentuk kata nama, kata kerja dan kata sifat. Bagi kata nama, kebiasaannya penggandaan digunakan untuk menandakan sifat jamak. Secara lazimnya, jika kata bilangan (cth. se-, lapan, semua, separuh) hadir di hadapan kata nama, maka tidak perlu untuk kata nama tersebut melalui proses penggandaan. Maka, bagi frasa nama ‘sembilan buah buku’ dan ‘semua murid’, ‘buku’ dan ‘murid’ tidak perlu melalui proses penggandaan kerana sifat jamaknya boleh dilihat pada kata bilangan. Pengecualian daripada syarat ini akan kita lihat pada kata ganda semu sebentar lagi.


Penggandaan bagi kata kerja pula mempunyai fungsi yang berbeza-beza. Antara fungsi tersebut adalah bagi menggambarkan perbuatan yang berbalasan (cth. tolong-menolong), menunjukkan perbuatan yang berulang-ulang (cth. menepuk-nepuk), perbuatan yang bersungguh (cth. teresak-esak) dan perbuatan yang berlanjutan selama sesuatu jangka masa (cth. baring-baring).


Kata ganda yang mempunyai dasar kata sifat pula selalunya digunakan untuk memberi penekanan kepada kata dasar tersebut (cth. haru-biru) serta untuk menunjukkan persamaan sifat dengan kata dasar (cth. kemerah-merahan).

Kebanyakan kata ganda perlu menggunakan tanda sempang (-), kecuali bagi keadaan di mana kedua-dua perkataan di dalam kata ganda tersebut mampu berdiri sendiri, sebagai contoh, ‘asal usul’. Kata ganda yang lain seperti ‘huru-hara’ tidak boleh ditulis tanpa tanda sengkang kerana ‘huru’ tidak mempunyai maksud tersendiri dalam bahasa Melayu. Di dalam artikel ini, kita akan melihat jenis-jenis kata ganda serta contoh-contohnya. 


Kata Ganda Seluruh


Kata ganda seluruh ialah kata ganda yang mengulangi keseluruhan kata dasar.

Jenis Kata
Contoh
Kata Nama
Cerita-cerita, anak-anak


  • Cerita-cerita dongeng yang selalu didengarnya dahulu kini diceritakan semula kepada anak-anaknya.


Murid-murid


  • Nama murid-murid yang ponteng sekolah itu telah dicatit oleh cikgu disiplin tersebut.
Kata Kerja
Kejar-kejar, masak-masak


  • Setelah bosan bermain kejar-kejar, budak perempuan itu mengajak adiknya bermain masak-masak pula.


Jalan-jalan


  • Bila disuruh belajar, dia malas, tetapi bila diajak jalan-jalan, mahu pula. 
Kata Sifat
Sihat-sihat


  • Pokok delima Mak Esah sihat-sihat belaka kerana dia menjaganya dengan baik.


Lawa-lawa


  • Anak dara Pak Karim lawa-lawa kerana mereka berdarah kacukan


     

Kata Ganda Semu


Walaupun secara visualnya kata ganda semu kelihatan sama seperti kata ganda seluruh, apa yang membezakannya ialah kata ganda semu hanya digunakan dalam bentuk kata nama sahaja. Kata ganda seluruh selalunya menandakan sifat jamak sesuatu kata nama, manakala kata ganda semu boleh membawa maskud tunggal dan jamak.


Sebagai contoh, bagi biri-biri, kupu-kupu dan layang-layang, satunya-satunya cara untuk menentukan sama ada ia tunggal atau jamak adalah dengan meletakkan kata bilangan di hadapannya (cth. sekumpulan biri-biri, tiga ekor kupu-kupu).


Contoh lain: kanak-kanak, ondeh-ondeh, kura-kura, anai-anai



Kata Ganda Separa


Kata ganda separa pula selalunya dibentuk apabila suku kata pertama kata dasarnya digandakan. Menurut Korpus Dewan Bahasa dan Pustaka, kata ganda separa sudah lama diguna pakai dalam Bahasa Melayu walaupun tidak sebanyak kata ganda seluruh. Contohnya boleh ditemui dalam teks-teks Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin. Setakat tahun 2017, terdapat 191 kata ganda separa di dalam Kamus Dewan. Antara kata ganda separa adalah seperti yang di bawah:



Makna Kata Ganda Separa
Contoh
Jamak (lebih daripada satu)
Dedaun:


  • Deanna sangat suka melihat dedaun yang jatuh pada musim luruh.


Jejentik:


  • Pelbagai langkah pencegahan telah diambil untuk menghapuskan pembiakan jejentik di kawasan perumahan tersebut.
Tunggal
Kekisi:


  • Walaupun sudah banyak kali diingatkan, Manan tetap lupa untuk mengganti kekisi tingkap tersebut.


Lelaki:


  • Lelaki muda yang sering ke gereja itu sebenarnya seorang paderi.
Menyerupai Sesuatu
Bebola (seperti bola kerana bentuknya yang bulat):


  • Setiap kali ke pasar, Ghani pasti akan membeli bebola ikan di gerai Jarjit.


Sesiku (seperti siku yang mempunyai lengan atas dan lengan bawah yang bersambung):


  • Untuk mendapatkan sudut 90 darjah yang tepat untuk lukisannya, Liew menggunakan sesiku L.





Kata Ganda Bersajak/Berima


Kata ganda bersajak atau berima pula merujuk kepada kata ganda yang terdapat penyesuaian bunyi (rima) di pangkal, hujung, atau seluruhnya.



Penyesuaian Bunyi
Contoh
Di Pangkal
Gelap-gelita:


Seluruh kawasan perumahan itu menjadi gelap-gelita kerana bekalan elektrik telah terputus.


Beli-belah:


Pusat beli-belah itu dikunjungi ramai orang kerana terdapat banyak jualan murah sempena Tahun Baru Cina.


Contoh lain: dentam-dentum, bengkang-bengkok, bukit bukau
Di Hujung
Calar-balar:


Dahan pokok yang jatuh akibat angin kuat semalam telah menyebabkan kereta Gopal calar-balar.


Kaya-raya:


Haji Salleh bukan saja seorang yang kaya raya, dia juga tidak pernah kedekut dengan orang lain.


Contoh lain: saki-baki, cerai-berai, anak-pinak, lauk-pauk, pindah-randah
Seluruhnya
Selok-belok:


Kerana Awang selalu mengikuti datuknya berburu semasa dia kecil, dia sangat memahami selok-belok hutan itu.


Compang-camping:


Wanita yang berpakaian compang-camping itu dahulunya usahawan yang berjaya.


Contoh lain: dolak-dalik, huyung-hayang, kacau-bilau, gunung-ganang, gopoh-gapah




Kata Ganda Berimbuhan


Kata ganda berimbuhan ialah kata ganda yang telah diimbuh.


Kedudukan Imbuhan
Contoh Kata Ganda dan Ayat
Imbuhan Awalan
Berpura-pura:


Pemuda itu berpura-pura tidur kerana tidak mahu memberikan tempat duduk kepada wanita mengandung yang berdiri di hadapannya.


Tergesa-gesa:


Sandra menyudahkan tugasannya dengan tergesa-gesa kerana dia menyangka bahawa tugasan tersebut harus dihantar minggu hadapan.


Contoh lain: tercari-cari, berlari-lari, menari-nari
Imbuhan Akhiran 
Terang-terangan:


Sudah terang-terangan dia bersalah tetapi dia masih tidak mengakuinya.


Mudah-mudahan:


Mudah-mudahan persiapan perkahwinan kita berjalan dengan lancar”, kata Dinesh kepada tunangnya.


Contoh lain: barang-barangan, bau-bauan
Imbuhan Awalan selepas Tanda Sengkang
Tahu-menahu


Pak cik itu berang kerana tiba-tiba dia dipersalahkan atas kehilangan kunci bilik tersebut padahal dia tidak tahu-menahu apa-apa tentangnya.


Tolong-menolong:


Kita hendaklah tolong-menolong antara satu sama lain.


Contoh lain: kejar-mengejar, sulam-menyulam, tarik-menarik
Apitan (imbuhan di awal dan akhir kata ganda)
Tergila-gilakan:


Ramai yang tergila-gilakan artis bermata hijau itu.


Selama-lamanya:


Dia telah berjanji akan menyayangi isterinya selama-lamanya.


Contoh lain: tergila-gilakan, menghuru-harakan, terkenang-kenangkan
Sisipan (di tengah)
Jari-jemari:


Anak kecil itu sangat kusyuk melihat jari-jemari penari yang sangat lentik.


Turun-temurun:


Resipi ayam rendang itu ialah resipi turun-temurun keluarga Mak Minah.


Contoh lain: tali-temali, turun-temurun



See more from Tatabahasa