Panduan Penulisan CV untuk Siswazah Baru

Kurikulum vitae atau lebih dikenali sebagai CV merupakan satu dokumen yang mengandungi maklumat seperti latar belakang pendidikan dan pengalaman anda untuk dinilai oleh bakal majikan, atau urus setia kemasukan sesuatu institusi. Tanpa mengenali anda terlebih dahulu, CV ialah satu-satunya cara bagi bakal majikan untuk menilai anda dan bagi anda untuk menarik minat bakal majikan supaya anda menonjol ke hadapan berbanding pesaing anda. 

CV yang baik merupakan tiket keemasan untuk anda menjamin peluang menduduki temuduga supaya anda selangkah lebih hampir dengan alam pekerjaan!


#1 CV atau Resume?

 Ramai siswazah keliru akan perbezaan antara CV dan resume. Resume ialah ringkasan padat yang menekankan aspek kemahiran pemohon yang selalunyua digunakan untuk memohon kerja dalam industri swasta. Dokumen ini bermula dengan pengalaman kerja atau latihan kerja, dan ia tidak lebih daripada dua muka surat. CV pula sering digunakan dalam permohonan geran pendidikan dan kemasukan institusi pengajian tinggi. Ia menekankan latar belakang pendidikan dan pencapaian akademik pemohon. Panjangnya bergantung pada pengalaman yang dimiliki oleh pemohon.

Siswazah harus mengetahui sama ada majikan memerlukan CV atau resume. Walaupun kegunaannya lebih tertumpu pada bidang akademik, CV kini amat popular dalam kalangan perekrut tempatan dan luar negara. Anda disarankan supaya menyediakan kedua-dua dokumen dan merujuk kepada bahagian sumber manusia di syarikat terbabit untuk mengesahkan pilihan dokumen yang perlu dihantar.


#2 Satu CV untuk Semua Permohonan

Percaya atau tidak, ini juga merupakan satu kesilapan lazim. CV anda perlu diubah suai untuk menepati setiap kemahiran dan kelayakan yang diperlukan oleh sesuatu pekerjaan. Sebagai contoh, CV anda yang berteraskan pengalaman dalam bidang kejuruteraan kimia perlu dikemas kini dengan butiran yang sesuai dengan permohonan anda bagi kekosongan jawatan eksekutif kawalan kualiti.


#3 Ringkas dan Mudah Dibaca

CV anda berfungsi seperti jurujual peribadi anda. CV yang baik mudah dibaca secara sepintas lalu oleh bakal majikan anda dalam masa satu minit! Mereka ingin mencari calon yang memiliki kelayakan, kemahiran, dan potensi yang sesuai dengan jawatan dan organisasi mereka.

Susun atur CV yang ringkas dan padat meningkatkan peluang anda untuk diambil bekerja. Masa majikan anda terlalu berharga untuk diluangkan pada CV yang sukar difahami! Anda disarankan supaya menggunakan daftar kata yang ringkas dengan huruf cetak standard seperti Calibri dengan baris langkau  yang sesuai seperti langkau 1.15.

CV siswazah baru secara asasnya patut memiliki susun atur berikut:

  • Penyataan peribadi (bukan wajib)
  • Butiran peribadi: nama, alamat kediaman, alamat email, nombor telefon dan pautan akaun LinkedIn
  • Kelayakan pendidikan (turutan kronologi): jangka masa, nama institusi, bidang pengajian, anugerah, latihan kerjaya, tesis, projek dan perbentangan
  • Pengalaman kerja (kronologi songsang): jangka masa, majikan, jawatan dan kemahiran yang diperoleh
  • Aktiviti dan minat: hobi, keahlian badan profesional, kelab dan persatuan, aktiviti sukarelawan
  • Kemahiran yang dimiliki: kemahiran bahasa asing, pengetahuan reka bentuk dan sistem komputer, serta kursus yang diikuti
  • Sorotan penting: pencapaian dan anugerah kerjaya yang membanggakan 
  • Rujukan: rujukan akademik dan bukan akademik (maklumkan perujuk anda terlebih dahulu dan minta keizinan mereka untuk menjadi perujuk anda.)


#4 Ketahui Tahap Perincian yang Diperlukan

Ketika menulis CV untuk majikan anda, anda harus mengetahui perincian yang dikehendaki oleh majikan anda. Sebagai contoh, anda tidak perlu meletakkan pencapaian Penilaan Tahap Tiga (PT3) untuk memohon jawatan profesional.

Selain itu, anda perlu mengelakkan butiran yang boleh menjejaskan tanggapan pertama anda, seperti Nilai Purata Gred Kumulatif (PNGK) yang kurang daripada 3.00. Hal ini boleh menjejaskan kedudukan anda berbanding calon yang lain.


#5 Kekalkan Keaslian CV Anda 

 Elakkan penggunaan acuan CV daripada perisian Microsoft Word atau acuan yang sama dengan CV rakan anda. Hal ini boleh menyebabkan CV anda hilang keaslian dan akan kelihatan sama sahaja dengan CV rakan anda!

Anda disarankan supaya membina sendiri acuan CV anda melalui Microsoft Office atau Adobe InDesign. Sekiranya anda mahukan cetusan ilham, anda boleh merujuk kepada beberapa contoh acuan CV melalui pautan ini.


#6 Utamakan Pencapaian dan Kemahiran yang Diperoleh

Rata-rata siswazah tidak mempunyai pengalaman kerja dalam industri. Selain daripada latihan industri, anda boleh menampung kekurangan ini dengan mempamerkan kemahiran pindah alih yang diperoleh. Sebagai contoh, kemahiran berpidato di khalayak ramai boleh dipindah alih kepada kerjaya eksekutif pemasaran yang banyak melibatkan komunikasi dengan pelanggan. Anda boleh menggunakan teknik STAK (Situasi, Tugas, Aksi, Keputusan) untuk menulis kemahiran yang anda miliki.

 Anda seharusnya tenang dan tidak terlalu  ghairah menulis segala jawatan yang anda sandang di universiti! Tumpukan kemahiran insaniah dan kemahiran fizikal yang diperoleh ketika menyandang jawatan tersebut. 


#7 Apa yang Perlu Anda Elak?

  • Meletakkan gambar anda dalam CV: hal ini boleh mengundang tindak balas yang tidak dikehendaki daripada para majikan yang seharusnya menilai anda melalui CV yang dihantar oleh anda.
  • Kesilapan tatabahasa dan ejaan yang berpunca daripada suntingan yang kurang teliti.
  • Menghantar surat lampiran dan CV sebagai dua dokumen berasingan kepada majikan.
  • Tidak menggunakan kata kerja berkuasa. Anda boleh menggantikan kata kerja ‘mengetuai’ dengan kata kerja berkuasa yang lain seperti ‘menyelia’, ‘mengawal atur’, dan ‘mengendalikan’. Rujuk pautan ini untuk ratusan kata kerja berkuasa yang boleh anda gunakan!


Selamat maju jaya dalam penulisan CV anda!

See more from Petua penulisan