Direction

Membezakan Bahasa Melayu Formal dan Tidak Formal dalam Penulisan


Secara umumnya, terdapat perbezaan yang agak ketara antara penulisan bahasa Melayu yang berbentuk formal dan tidak formal; namun, sebarang perbezaan antara kedua-dua bentuk tersebut masih boleh dicam oleh rata-rata penutur bahasa dengan mudah.

Penulisan berbentuk formal mementingkan penggunaan bahasa baku atau bahasa Melayu standard. Penulisan berbentuk formal juga menitikberatkan ketepatan ejaan berdasarkan Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu, serta penggunaan imbuhan dan susunan ayat yang gramatis—biasanya menurut panduan yang telah digariskan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam buku Tatabahasa Dewan. Penulis juga digalakkan untuk membina lebih banyak ayat pendek yang padat dengan isi kandungan.

Penggunaan perkataan atau istilah saduran yang dipinjam terus daripada bahasa asing juga tidak digalakkan sekiranya terdapat pilihan perkataan yang lebih sesuai. Antaranya ialah: belanjawan/bajet (bahasa Inggeris: budget), yuran/fi (bahasa Inggeris: fee), dan perbincangan/diskusi (bahasa Inggeris: discussion.) Penggunaan singkatan dalam perkataan/frasa/ayat juga akan dielakkan dalam gaya penulisan formal. Selain itu, sebarang gelaran kehormat seperti Dato’, Datuk, Datuk Seri, dan Tan Sri juga biasanya akan digunakan dalam bentuk penuh. Penulisan bahan-bahan berformat seperti surat kiriman rasmi, laporan, dan minit mesyuarat juga perlu ditulis berdasarkan gaya bahasa dan formatnya yang tersendiri.

Gaya penulisan formal biasanya ditemui dalam dokumen-dokumen urusan rasmi, penerbitan jabatan kerajaan, dan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah-sekolah serta institut pengajian tinggi tempatan. Ia juga biasa ditemui dalam kebanyakan media cetak dan eletronik terbitan arus perdana yang bersifat umum seperti akhbar-akhbar harian (Berita Harian, Utusan Malaysia), dan majalah-majalah ilmiah (Dewan Siswa, Dewan Masyarakat.)

Penulisan berbentuk tidak formal pula tidak begitu menekankan penggunaan bahasa baku. Aspek ketepatan ejaan, serta pengunaan imbuhan dan susunan ayat yang gramatis juga kadangkala diabaikan, baik secara sengaja mahupun tidak sengaja. Penulis juga memiliki lebih banyak kebebasan dari aspek pemilihan perkataan, dan cenderung mengutamakan kreativiti daripada ketepatan bahasa dalam pengolahan ayat. Selain daripada kekerapan penggunaan perkataan atau istilah saduran yang lebih tinggi, terdapat juga campur-aduk gaya bahasa pasar yang sering digunakan dalam perbualan seharian dan dialek bahasa Melayu dari negeri-negeri lain yang memiliki kosa kata masing-masing.

Selain surat tidak rasmi, penulisan tidak formal tidak terikat dengan mana-mana format tertentu. Gaya penulisan tidak formal biasanya ditemui dengan mudah dalam kebanyakan media cetak atau elektronik terbitan arus perdana yang bersifat lebih santai dan memiliki kelompok sasaran tertentu (majalah hiburan dan majalah remaja). Ia juga digunakan dalam kebanyakan bahan cetak terbitan penerbit alternatif seperti Buku Fixi yang banyak menerbitkan novel berkonsep urban dan kontemporari serta mengalih bahasa novel-novel laku keras dunia. Sungguhpun penggunaan gaya bahasa tidak formal dalam bahan cetak terbitan penerbit alternatif sering kali dikecam oleh pencinta bahasa atas alasan ia merosakkan keaslian dan keindahan bahasa. Gaya bahasa yang ditampilkan dalam bahan terbitan alternatif ini sebenarnya gambaran yang lebih tepat berkenaan pengunaan seharian bahasa Melayu dalam kalangan penuturnya.



>>Baca lebih lanjut tip-tip penulisan, tatabahasa, dan penggunaan dari Oxford Living Dictionaries>>

Pendapat dan maklumat lain yang terkandung dalam catatan dan komen blog OxfordWords tidak semestinya menggambarkan pendapat atau pendirian Oxford University Press.

Dikuasai oleh Oxford