Writing1

Panduan Efektif untuk Penulisan ‘Online’


Jika dibandingkan dengan abad yang lalu, sumber utama pembacaan di media cetak dan penulisan online secara umumnya telah menjadi satu pilihan popular dekad ini. Namun, memandangkan medium yang digunakan telah berevolusi, mekanisme penulisan yang digunakan juga turut berubah. Artikel ini akan menerangkan cara-cara menulis di platform online dengan berkesan khususnya untuk blog dan artikel.

  1. Menulis untuk mereka yang menggunakan teknik bacaan imbasan
    Kebanyakan pembaca online akan membaca secara imbasan. Maka, tajuk yang digunakan haruslah mutakhir dan signifikan bagi mendapatkan perhatian mereka. Dari segi struktur, gunakan sub-judul bagi setiap isi penting. Hal ini dapat memudahkan pembaca untuk mencari bahagian artikel yang paling menarik dalam sekali imbas. Sub-judul ini juga boleh ditulis dengan font yang lebih kecil berbanding dengan tajuk utama artikel bagi memastikan struktur artikel lebih kemas. Sekiranya anda ingin merujuk sesuatu sumber yang sedia ada seperti artikel yang telah anda terbitkan, adalah lebih baik untuk anda sediakan pautan luar bagi mengelakkan anda dari terpaksa menjelaskan kembali perkara yang telah dinyatakan sebelum ini.

  2. Visual
    Jika anda ingin menyenaraikan sesuatu, gunakan nombor atau bullet point kerana dari segi visualnya, ia lebih mudah untuk dibaca. Jika perlu, gariskan, pekatkan, highlight, italicise, atau warnakan isi penting anda. Tetapi ingat, ia hanyalah untuk bibit yang mustahak sahaja, bukan seluruh ayat atau perenggan. Selain itu, anda juga boleh memasukkan imej yang bertepatan dengan isu yang sedang anda bincangkan. Sekiranya anda sedang mengusahakan blog peribadi ataupun jurnal online, anda juga boleh sertakan profil yang menyatakan sedikit sebanyak tentang biodata dan kredibiliti anda sebagai seorang penulis. Kadangkala, persamaan minat dengan pembaca membuatkan mereka lebih tertarik untuk membaca hasil penulisan anda.

  3. Panjang artikel
    Kebanyakan pembaca hanya mampu memberikan sepenuh perhatian kepada bahan bacaan selama beberapa minit awal pembacaan. Maka anda sebagai penulis, usahlah berbolak-balik dan pastikan isi anda tepat dan padat. Artikel anda perlu bebas dari mengulangi sesuatu maklumat terutamanya yang tidak relevan sekiranya anda mahu mengekalkan fokus mereka sehingga ke akhir pembacaan. Namun, terdapat pengecualian dalam penulisan blog atau jurnal yang bersifat naratif. Ada masanya, perincian dalam penceritaan dapat menarik minat pembaca.

  4. Kenali target anda.
    Maksud target dalam konteks penulisan merujuk kepada dua aspek: fokus penulisan dan sasaran pembaca anda. Target pertama memerlukan anda untuk mengenal pasti perkara yang anda ingin kongsikan dengan pembaca. Pada pandangan anda; apakah idea yang bernilai untuk dikongsi bersama pembaca? Sebagai penulis, anda harus memahami perkara tersebut sebaik mungkin. Jika perlu, lakukan penyelidikan yang terperinci. Anda pasti tidak mahu menyampaikan sesuatu yang tidak sahih kepada pembaca.

    Target kedua (pembaca) akan menentukan stail penulisan anda. Faktor seperti umur, pekerjaan, jantina dan status sosioekonomi semuanya menyumbang kepada pendekatan mana yang seharusnya anda pilih untuk penulisan anda. Contohnya, jika fokus penulisan anda ialah pembaca dewasa yang bekerja di dalam bidang kedoktoran, penulisan anda mungkin lebih sesuai ditulis dalam daftar kata yang berunsur akademik dengan menggunakan jargon yang bertepatan dengan proses atau isu yang dibincangkan. Namun sekiranya anda sedang menerangkan perihal yang sama kepada pelajar sekolah menengah yang mengambil aliran sains, anda mungkin perlu menerangkan secara lebih umum dengan menggunakan leksikon yang lebih mudah untuk difahami.

  5. Teruskan menulis.
    Usah khuatir sekiranya penulisan anda tidak mendapat sambutan seperti yang anda inginkan. Lihat komen pembaca di ruangan komentar (jika ada) supaya anda dapat memperbaik penulisan anda. Yang penting, banyakkan membaca dan jangan berputus asa.



>>Baca lebih lanjut tip-tip penulisan, tatabahasa, dan penggunaan dari Oxford Living Dictionaries>>



Pendapat dan maklumat lain yang terkandung dalam catatan dan komen blog OxfordWords tidak semestinya menggambarkan pendapat atau pendirian Oxford University Press.

Dikuasai oleh Oxford