Pages

Ragam Ayat: Ayat Aktif dan Ayat Pasif


Dalam bahasa Malaysia, ragam ayat dapat dibahagikan kepada 2 jenis, yakni ayat aktif dan ayat pasif. Perbezaan antara 2 jenis ragam ayat ini ialah ayat aktif mengutamakan subjek sebagai judul, manakala ayat pasif menjadikan objek sebagai judul. Oleh itu, subjek bagi ayat aktif ialah pelaku sesuatu perbuatan, manakala subjek bagi ayat pasif ialah subjek terbitan yang pada asalnya merupakan objek.

Bagi ayat aktif, subjek asal diutamakan pada permulaan ayat, manakala objek mengikuti kata kerja dalam ayat. Binaan ayat ini menghasilkan turutan Subjek-Kata Kerja-Objek (SKO). Perhatikan bahawa kata kerja dalam contoh-contoh ayat aktif berikut diimbuhkan dengan imbuhan awalan meN–:

Ali telah memakan sepinggan nasi.

Salmah sedang membaca sebuah buku.

Ali tidak menyepak bola itu.


Salah satu ciri yang menjadikan bahasa Malaysia satu bahasa yang istimewa ialah kewujudan 2 jenis ayat pasif yang terdapat dalam bahasa Malaysia. Lazimnya, sesuatu bahasa hanya mempunyai satu jenis ayat aktif dan satu jenis ayat pasif. Namun, terdapat 2 jenis ayat pasif dalam bahasa Malaysia, yakni ayat pasif jati dan ayat pasif semu.

Bagi ayat pasif jati, turutan SKO diterbalikkan. Secara asasnya, ini menghasilkan turutan Objek-Kata Kerja- Subjek (OKS) oleh sebab perpindahan objek dari kedudukan asalnya (selepas kata kerja) kepada kedudukan subjek pada permulaan ayat. Dalam kata lain, objek dijadikan subjek terbitan dalam ayat pasif. Ayat pasif jati menggunakan imbuhan awalan di– pada kata kerja. Perhatikan juga bahawa subjek asal (pelaku) bagi contoh-contoh ayat di bawah dijadikan frasa sendi nama yang didahulukan oleh kata sendi nama ‘oleh’.

Sepinggan nasi telah dimakan oleh Ali.                      

Sebuah buku sedang dibaca oleh Salmah.                 

Bola itu tidak disepak oleh Ali.     
      

Walau bagaimanapun, penggunaan kata sendi nama ‘oleh’ bukanlah suatu kemestian dan ia boleh digugurkan. Secara lazimnya, keseluruhan frasa sendi nama tersebut juga boleh digugurkan sekaligus:

Sepinggan nasi telah dimakan Ali.                              

Sepinggan nasi telah dimakan.

 

Sebuah buku sedang dibaca Salmah.                       

Sebuah buku sedang dibaca.

 

Bola itu tidak disepak Ali.                                           

Bola itu tidak disepak.

 

Bagi ayat pasif semu, turutan katanya sedikit berbeza. Objek dikedepankan ke permulaan ayat. Sekiranya ada, kata kerja bantu atau kata nafi juga dikedepankan. Kata kerja utama pula dikekalkan pada kedudukan asal mengikuti subjek asal. Dalam ayat pasif semu, kata kerja tidak diimbuhkan.

Sepinggan nasi telah Ali makan.

Sebuah buku sedang Salmah baca.

Bola itu tidak Ali sepak.



>>Baca lebih lanjut tip-tip penulisan, tatabahasa, dan penggunaan dari Oxford Living Dictionaries>>

Pendapat dan maklumat lain yang terkandung dalam catatan dan komen blog OxfordWords tidak semestinya menggambarkan pendapat atau pendirian Oxford University Press.

Dikuasai oleh Oxford