Dscf0576

Blog: Malay Oxford Living Dictionary di UKM

Adakah anda di Universiti Kebangsaan Malaysia pada minggu lepas?


Jika tidak, anda terlepas peluang untuk menghadiri taklimat Kamus Hidup Bahasa Melayu di sana! 




Kami telah dijemput untuk memberikan taklimat pada 26 haribulan April, sebagai salah satu acara dalam program Pesta Bahasa Antarabangsa UKM 2017. Ini sebuah pesta yang diadakan setiap 2 tahun untuk menyambutkan kepelbagaian bahasa-bahasa dunia, dan untuk menyediakan sumber-sumber mempelajari bahasa-bahasa tertentu bagi para pelawat dan pelajar.


Poskad Kamus Hidup Bahasa Melayu di sebuah kaunter pameran Pesta Bahasa Antarabangsa UKM.



Tujuan mengadakan pesta ini adalah untuk memecahkan halangan bahasa dalam masyarakat yang ingin mengenali sesama sendiri - sebuah sasaran yang amat difahami oleh pasukan Oxford Global Languages dan Kamus Hidup Bahasa Melayu Oxford.


Penyampaian kami yang diadakan pada hari ini telah membicarakan masa depan bahasa Melayu, terutamanya berkenaan media sosial. Kami membincangkan isu-isu linguistik yang dihadapi oleh penutur bahasa Melayu baru-baru ini, seperti cara mengejar inovasi bahasa Inggeris seperti 'selfie', 'Facebook like', 'fake news' dan lain-lain. Masalah dalam bidang penterjemahan juga dibicarakan, dengan pendapat dan persoalan oleh beberapa pakar penterjemahan di kalangan hadirin kami.


Taklimat kami dihadiri oleh pelajar-pelajar, dan pakar-pakar, dalam bidang penterjemahan dan bahasa.


Kami amat berbesar hati atas jemputan yang disampaikan oleh Dr. Intan Safinaz Zainudin, dari Pusat Penyelidikan Kelestarian Sains Bahasa. Beliau merupakan salah satu daripada Juara Bahasa projek Kamus Hidup Bahasa Melayu dari Oxford, dan juga pensyarah dalam kelas penterjemahan di UKM. Peluang untuk membincangkan bahasa Melayu dan bertukar pendapat bersama individu-individu tentang bahasa ibunda kita ini sangat dihargai.


Kami juga terpegun dengan tahap semangat pelajar-pelajar di UKM, samada pelajar dalam jurusan bahasa ataupun bidang yang lain, dalam menghadiri dan mengambil bahagian dalam Pesta Bahasa Antarabangsa ini. Tak disangka bahawa begitu ramai yang meminati bahasa, dan bahawa sumber mempelajari bahasa lain dalam bahasa Melayu begitu banyak dan besar. Lihat gambar-gambar di bawah untuk melihat pameran yang terdapat di Pesta Bahasa ini.


Sumber-sumber pelajaran bahasa Korea. Buku-buku tahap pemula disediakan dalam bahasa Melayu, manakala pelajar yang lebih cekap boleh mulai membaca buku teks dalam tulisan Hangeul.


Bahasa-bahasa lain yang dipamerkan di Pesta Bahasa juga termasuklah bahasa Thai, Arab, Jepun, Perancis, Hindi, Jerman, dan lain-lain.


Sebuah poster besar di kaunter pameran Perancis.


Selain daripada kaunter pameran, Pesta Bahasa ini juga mempunyai sebuah pasar, dan antara barangan yang dijual di pasar tersebut ialah inai (di bahagian bahasa Hindi dan Arab), gelang, baju yukata dan kimono (di bahagian bahasa Jepun), dan makanan wakilan budaya-budaya dari seluruh dunia.


Hari ini merupakan pengalaman yang sangat berharga bagi Kamus Hidup Bahasa Melayu - bukan sahaja kerana dapat bertemu dengan begitu ramai pelajar-pelajar bidang penterjemahan yang meminati bahasa Melayu, tetapi juga kerana dapat menyaksikan tahap semangat orang awam dalam mempelajari bahasa-bahasa lain. Pesta Bahasa ini telah menunjukkan kepada kami bahawa pemelajaran bahasa dan persefahaman budaya itu memegang hubungan yang rapat: dengan mengambil masa untuk memelajari bahasa yang lain, bolehlah kami memulai perjalanan untuk memahami komuniti tersebut dengan lebih mendalam.


Terima kasih sekali lagi kepada Dr. Intan atas jemputan ini, dan juga kepada Pusat Penyelidikan Kelestarian Sains Bahasa atas penganjuran pesta ini!




Nak tahu tentang acara kami yang akan datang? Ikuti perkembangan terbaru di Facebook kami.

Pendapat dan maklumat lain yang terkandung dalam catatan dan komen blog OxfordWords tidak semestinya menggambarkan pendapat atau pendirian Oxford University Press.

Dikuasai oleh Oxford