Gabotse1

5 Petua Menulis


Penulisan karya kreatif bukanlah suatu pekerjaan yang mudah. Ramai yang bercita-cita menghasilkan karya sendiri sering terasa kecewa, ataupun hampir berputus asa, oleh sebab menghadapi kesukaran semasa menulis karya yang tersebut.

Di sini kita akan membincangkan panduan menulis yang diberi oleh 5 pengarang terunggul dari seluruh dunia. Setelah habis membaca semua petua di bawah, diharap bahawa anda akan mengambil inspirasi daripada contoh-contoh penulis berikut, dan sambungkan segala usaha untuk mencapai impian anda suatu hari nanti.


Pembacamu seorang, dan bukan seribu

Apabila sedang menulis, tumpukan fikiran anda kepada seorang pembaca yang tertentu, dan bukan kepada seribu. Inilah nasihat penulis terkenal, John Steinbeck (pengarang Of Mice and Men, East of Eden dan The Grapes of Wrath). Biarpun surat ataupun cerpen, menulis untuk seorang pembaca yang anda kenali akan menghasilkan karya yang jauh lebih mengharukan, berbanding karya seorang penulis yang leka cuba memuaskan kehendak seribu pembaca.


Membaca itu penting

Pernahkah anda temui orang yang dengan bangganya berkata, “saya tidak suka membaca”? Janganlah anda mencontohi sikap ini, terutamanya jika ingin menghasilkan karya yang menyayat hati. Membaca dan menulis ialah dua beradik yang mencatat kalbu tamadun kita; oleh itu, tanpa satu daripadanya kita tidak mampu lakukan yang kedua, bak kata sasterawan terunggul negara kita, iaitu A. Samad Said (pengarang ‘Liar di Api’, ‘Adik Datang’ dan ‘Lima Kawan ke Rumah Rahsia’), “jika anda ingin menjadi seorang penulis, pertama sekali kena membaca, kedua kena membaca, ketiga membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis.” Sambil membaca, sila tumpukan perhatian kepada cara si penulis membentukkan ayatnya, biarpun dengan menggunakan simpulan bahasa, kata yang jarang dijumpai, ataupun unsur bahasa lain yang menarik perhatian.


Anekakan bahasa

Simpulan bahasa bukanlah terhad kepada yang dipelajari di sekolah. Penghasilan  karya ialah satu-satunya peluang kita meluahkan hati dengan sepenuhnya; oleh itu, sampaikanlah perasaan yang ingin disampaikan, dengan menggunakan cara yang jarang digunakan oleh penulis yang lain. F. Scott Fitzgerald, pengarang The Great Gatsby dan Tender is the Night, masih disanjung tinggi dalam dunia sastera oleh sebab gaya bahasanya yang dianggap istimewa pada tahun 1920-an. Penggunaan unsur bahasanya yang kreatif menyebabkan namanya dikenali di seluruh dunia hingga ke hari ini. Petuanya kepada penulis muda (biarpun dari segi usia ataupun pengalaman) ialah jangan sesekali pun berhenti mencari cara yang baru untuk menyampaikan isi hati anda kepada dunia. Penganekaan bahasa ialah teknik yang sangat penting dalam penulisan kreatif.


Ingatlah asal-usulmu

Kita merujuk kembali kepada petua yang pertama dan ketiga, iaitu kepentingan menulis dengan cara yang menyayat hati pembaca. Salah satu kaedah mencapai sasaran ini adalah dengan menggunakan pengalaman sendiri sebagai ilham dalam penulisan anda. Misalnya, bagi penulis dari Colombia, Gabriel Garcia Marquez, pengalaman zaman kanak-kanak di negara asalnya sering menjadi inspirasi dalam karyanya yang terunggul, seperti One Hundred Years of Solitude dan juga Love in the Time of Cholera. Oleh sebab beliau sentiasa menulis tentang perkara yang berkaitan hidupnya di Colombia, karyanya sering kali menyentuh hati pembaca di seluruh dunia. Namun begita, anda tidak semestinya menulis tentang tempat asal-usul ataupun zaman kanak-kanak anda. Setiap satu pengalaman kita amat berharga dan mempunyai kebolehan memperbaikkan kaliber penulisan kita.


Disiplin itu emas

Penulis terkenal Jepun, Haruki Murakami (pengarang Norwegian Wood dan Kafka on the Shore), berpendapat bahawa di sebalik kejayaan seorang penulis, bakat hanya mengambil sebahagian yang kecil – manakala sikap berdisiplin, bertanggungjawab dan tidak berputus asa akan membawa seseorang itu ke mana-mana jua. Antara tabiat yang paling penting dibiasakan ialah ketaatan kepada jadual. Ibaratkan karya anda dengan benih yang memerlukan pemeliharaan yang teliti; jikalau anda tidak menyediakan jadual yang tetap, benih tersebut tidak akan bertumbuh. Apabila menulis sebuah karya, ikutlah jadual yang telah disiap sediakan untuk karya tersebut, daripada menulis mengikut kesukaan hati. Ini juga nasihat penulis Inggeris, Neil Gaiman, kepada pembaca-pembacanya yang bercita-cita menjadi penulis.



>>Baca lebih lanjut tip-tip penulisan, tatabahasa, dan penggunaan dari Oxford Living Dictionaries>>



The opinions and other information contained in OxfordWords blog posts and comments do not necessarily reflect the opinions or positions of Oxford University Press.

Powered by Oxford