Writing 20inspiration

Penulisan kreatif


Penulisan kreatif pada dasarnya ialah proses penciptaan karya sastera. Ia bermula dari tercetusnya idea, memikir dan mematangkan idea tersebut, mengolah dalam bentuk tulisan dalam pelbagai genre, dan seterusnya memperbaiki dan memurnikan sehingga lahir sebuah karya yang baru. Pola penulisan kreatif mengeksplorasi daya imaginasi si penulis, biasanya ditandai dengan penulisan yang lebih naratif atau bertutur, pengembangan karakter dan penggunaan kiasan. Penulisan kreatif ditujukan untuk mengusik, membuai, merangsang dan bahkan mengaduk-aduk perasaan dan pemikiran pembacanya. Ada dua jenis penulisan kreatif iaitu fiksi dan non-fiksi. Contoh-contoh fiksi ialah novel, cerpen, drama, komik dan iklan. Autobiografi, biografi, surat dan jurnal perjalanan pula adalah contoh-contoh bagi non-fiksi. Ada pelbagai langkah yang boleh dijadikan panduan bagi penulis-penulis yang tiada pengalaman dalam penulisan kreatif untuk berjinak-jinak dengan bidang ini seperti yang tertera di bawah:

  1. Mulakan dengan menulis dalam buku nota. Di dalamnya, tulis idea cerita, tajuk cerita, nama-nama watak, idea-idea dialog, dan apa-apa saja berkaitan cerita itu. Anda boleh gunakan buku nota yang murah sahaja.

  2. Baca blog- penulis berpengalaman untuk mendapat idea selok-belok penulisan kreatif.

  3. Baca buku dari pelbagai genre. Klasik dan moden. Kenal pasti apa yang anda suka dan tidak suka dalam sesuatu cerita. Gunakan panduan ini bila menulis cerita anda.

  4. Tulis. Tulis. Tulis. Tulis sekurang-kurangnya satu halaman sehari, setiap hari.

  5. Kaji struktur, pelbagai watak dan protagonis dalam cerita.

  6. Pelajari kaedah-kaedah asas penulisan dan penyuntingan. Minta bantuan dari penulis berpengalaman.

  7. Biar orang baca tulisan anda. Maklum balas daripada pembaca adalah cara terbaik untuk menjadi lebih baik.

  8. Sertai laman web percuma seperti Where the Writers Go to Write dan Free Online Novel and Story Writing Application.

  9. Buat berbilang salinan hasil penulisan anda bagi tujuan kecemasan. Simpan satu salinan bertulis rangka kerja dan draf asal, salinan elektronik disimpan dalam external hard drive dan versi atas talian dalam Cloud. Jangan sekali-kali membuang sesuatu idea, tidak kira betapa bodohnya ia kelihatan.

  10. Baca buku-buku berkaitan penulisan fiksi dan non-fiksi seperti On Writing oleh Stephen King. Melabur dengan membeli tesaurus dan kamus terkini.

  11. Belajar menyelidik dan menemubual kerana anda perlu berbincang dengan pakar untuk mendapatkan fakta yang betul.

  12. Sertai kumpulan pembaca buku. Sertai kumpulan penulis.

  13. Beli dua salinan buku kegemaran anda. Satu untuk dibaca dan satu lagi untuk dianalisa. Kenal pasti perkataan-perkataan baru dan rujuk kamus. Kenal pasti juga ungkapan-ungkapan dan ayat-ayat yang menarik. Garis ayat-ayat yang anda fikir boleh diperbaiki. Beri tumpuan kepada cara penulis menyulam aksi, dialog dan keadaan. Anda akan mempelajari pelbagai perkara daripada amalan ini walaupun anda mungkin hanya melakukannya sekali.

  14. Sediakan ruangan besar yang memberi inspirasi kepada anda untuk menulis.

  15. Pekakkan telinga jika ada orang berkata anda tidak cukup baik. Ia adalah satu pembohongan kerana itu adalah reaksi orang-orang yang cemburu dengan penulisan anda.

  16. Berlapang dada menerima kritikan-kritikan membina.

  17. Sertai kelas penulisan kreatif.

  18. Tulis apa yang anda paling suka, jangan ambil kira apa yang orang fikirkan. Jika anda suka, begitu juga pembaca anda.

  19. Pelajari apa yang dikehendaki oleh ejen penerbit, editor dan penerbit.

  20. Penulis mempunyai keupayaan untuk mencipta dunia. Ia bukanlah mudah. Jangan putus asa.



>>Baca lebih lanjut tip-tip penulisan, tatabahasa, dan penggunaan dari Oxford Living Dictionaries>>



The opinions and other information contained in OxfordWords blog posts and comments do not necessarily reflect the opinions or positions of Oxford University Press.

Powered by Oxford