Unnamed 20%281%29

Fakta atau Mitos: Ialah dan Adalah, Dari dan Daripada?

Benarkah panduan tatabahasa yang digunakan khalayak ramai? Apakah perbezaan sebenar antara perkataan-perkataan ini?


Sejak bulan yang lalu, sejumlah daripada pelawat kami mengambil kuiz tatabahasa Melayu kami yang, pada mulanya, kelihatan amat senang.

Kuiz tersebut menampilkan soal perbezaan fungsi antara perkataan-perkataan yang hampir sama, seperti “ialah/adalah”,  “kita/kami”, “dari/daripada”, dan pasangan unit tatabahasa lain yang dipelajari setiap murid di peringkat persekolahan rendah.

Walau bagaimanapun, julat markah menunjukkan bahawa walaupun ramai diluluskan dengan markah yang tinggi ataupun penuh, ramai juga tidak begitu bertuah. Pembacaan komen-komen yang ditinggalkan di ruang media sosial juga mendapati bahawa ramai penjawab kuiz memegang kepercayaan yang tertentu mengenai penggunaan "adalah", "daripada", dan sebagainya. Contohnya, ada yang memercayai bahawa "adalah" hanya digunakan untuk objek yang tidak bernyawa. Benar atau mitos?

Jadi, bagaimanakah kita boleh membezakan antara pasangan "kita/kami", "dari/daripada", "ialah/adalah", dan "dalam/di dalam"? Adakah kepercayaan yang berleluasa tentang perbezaan tatabahasa Melayu tepat? Artikel ini bertujuan menjelaskan kekeliruan ini.


1. Dalam / Di dalam

Fakta atau mitos: "Dalam" hanya digunakan jikalau ruang yang dirujuki tidak wujud ataupun tidak konkrit.

"Dalam" dan "di dalam" boleh dibezakan dengan cara yang amat terus-terang: "Dalam" hanya boleh merujuk kepada ruang yang tidak konkrit (tidak wujud), manakala "di dalam" merujuk kepada ruang yang konkrit ataupun ruang yang wujud.

Contohnya:

  • "Sila tinggalkan tandatangan di dalam petak di bahagian bawah borang ini." (Petak ialah sebuah ruang yang wujud)

  • "Aliff menyimpankan buku biografi Warren Buffett di dalam almarinya." (Almari ialah sebuah ruang yang konkrit dan wujud)

  • "Ada sebuah pengalaman ngeri yang menghantuinya dalam mindanya." (Minda ialah sebuah ruang yang tidak konkrit)


Kesimpulannya: Fakta!


2. Dari / Daripada

Fakta atau mitos: "Dari" merujuk kepada objek, dan "daripada" merujuk kepada orang.

Perbezaan antara "dari" dan "daripada" juga senang diingati dengan menggunakan kaedah tertentu. Kedua-dua perkataan ini ialah kata sendi nama, iaitu jenis perkataan yang menghubungkan frasa nama (iaitu frasa yang mempunyai subjek berjenis kata nama) dengan frasa lain. Antara kata sendi nama dalam bahasa Melayu ialah:

  • Dari
  • Daripada
  • Ke
  • Kepada
  • Dengan
  • Untuk
  • Di
  • Tentang
  • Demi
  • Seperti


Dan sebagainya. Semua perkataan ini bertugas menghubungkan frasa nama dalam sesebuah ayat dengan frasa yang lain.

Tetapi, walaupun mengongsi tugas ini, "dari" dan "daripada" masing-masing memegang tiga jenis fungsi tersendiri.

Fungsi "dari", yang berlainan daripada "daripada", boleh diingati dengan menghafal maksud akronim "ATM": bukan automated teller machine, tetapi "Arah, Tempat dan Masa". Kata sendi nama "dari" hanya digunakan untuk menyatakan arah, tempat dan masa dalam sesebuah ayat. Contohnya:

  • "Saya mengeluarkan duit ini dari bank." (Tempat)
  • "Angin meniup dari Selatan." (Arah)
  • "Dari pukul lapan hingga sepuluh malam ini, filem terbaru Redza Minhat akan ditayangkan di pawagam." (Masa)


Kata sendi nama "daripada" digunakan untuk membincangkan dua jenis objek, dan juga untuk fungsi ketiga yang tersendiri. Objek yang pertama ialah orang, yang kedua ialah punca pembuatan. Fungsi ketiganya pula adalah untuk melakarkan perbandingan antara dua objek.

Contohnya:

  • "Adik dapat hadiah daripada Mak Long." (Membincangkan orang)
  • "Kasut ini diperbuat daripada kulit lembu sebenar." (Menerangkan punca pembuatan)
  • "Saya lebih suka nasi ambeng daripada nasi kerabu." (Membuat perbandingan)


Oleh itu, walaupun "dari" dan "daripada" menduduki tugas yang sama, masing-masing mempunyai tiga jenis fungsi yang berlainan. "Dari" digunakan untuk menyatakan Arah, Tempat dan Masa, manakala "daripada" menyatakan Orang dan Perbandingan.


Kesimpulannya: Mitos! 


3. Ialah / Adalah


Fakta atau mitos: "Ialah" merujuk kepada makhluk bernyawa, manakala "adalah" merujuk kepada benda tidak bernyawa.

Kita memanggil "ialah" dan "adalah" kata pemeri, iaitu penghubung frasa yang utama dengan frasa lain dalam sesebuah ayat.

"Ialah" hanya digunakan apabila perkataan selepasnya merupakan kata nama. Huraian yang lebih tepat adalah bahawa "ialah" hanya digunakan apabila frasa yang mengikutinya ialah frasa nama.

Contohnya:

  • "Kakak saya ialah orang yang baik." (Mendahului frasa nama)
  • "Menara ini ialah bangunan yang tertinggi di Asia." (Mendahului frasa nama)
  • "Pemain kegemaran saya dalam pasukan ini ialah Ashraf." (Mendahului frasa nama)


Contoh-contoh ini menggambarkan bahawa kata pemeri "ialah| boleh digunakan sekiranya mendahului kata nama am, dan juga kata nama khas (nama orang, nama tempat, dll). "Ialah" juga dibenarkan jika mendahului kata yang merujuk kepada benda, dan bukan sahaja kepada orang.

"Adalah" pula diperlukan jika frasa yang mengikuti kata pemeri dalam ayat anda ialah frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Keliru?

Tadi sudahpun dijelaskan bahawa frasa nama merupakan frasa yang bersubjek kata nama ("orang yang baik", "kucing yang gemuk"). Frasa adjektif pula ialah frasa yang mempunyai subjek berjenis kata sifat / adjektif ("besar macam gajah"), manakala frasa sendi nama ialah frasa bersubjek kata sendi nama ("untuk kamu").

Contohnya:

  • "Angpau ini adalah daripada Auntie Fiona." (Frasa sendi nama)
  • "Sekarang anak saya adalah tinggi macam ayahnya." (Frasa adjektif)
  • "Cenderhati ini sebenarnya adalah untuk kamu." (Frasa sendi nama)


Kesimpulannya: Mitos!


4. Kita / Kami


Fakta atau mitos: Guna "kita" kalau termasuk pendengar, guna "kami" kalau tidak termasuk pendengar

Inilah pasangan yang paling mudah dibezakan dalam senarai kami yang ringkas ini. Cara membezakan fungsi "kami" daripada fungsi "kita" adalah dengan memerhatikan pihak yang dirujuki perkataan tersebut.

"Kami" merujuk kepada pihak yang tidak termasuk pendengar. Contohnya:

  • "Kami nak pergi makan. Awak pasti tak nak ikut?"

Manakala "kita" merujuk kepada pihak yang termasuk pendengar. Contohnya:

  • "Jom kita semua pergi Jonker Street hujung minggu ni."


Kesimpulannya: Fakta!


Peraturan tatabahasa Melayu tidaklah begitu sukar. Tetapi oleh kerana terlalu biasa dengan kebiasaan perbualan harian, kadangkala senang juga kita lupa akan cara yang tepat. Dengan adanya sumber bacaan yang senang, kita tidak perlu bimbang. Tidak dikira jika anda ialah penutur yang tidak fasih, penutur yang baru, ataupun hanya terlupa akan peraturan tatabahasa yang dibentangkan di atas - selagi adanya keinginan mendalamkan pemahaman, segala usaha akan berbaloi.

Ada persoalan atau pandangan tentang rencana ini? Tinggalkan komen anda di halaman Facebook kami!

Pendapat dan maklumat lain yang terkandung dalam catatan dan komen blog OxfordWords tidak semestinya menggambarkan pendapat atau pendirian Oxford University Press.

Dikuasai oleh Oxford