Essay 20writingcropped

Panduan Unggul Penulisan Karangan dalam Bahasa Malaysia


Karangan merupakan karya bertulis berkaitan sesuatu tajuk. Ia merupakan tugasan yang tidak asing lagi di peringkat sekolah dan universiti. Secara umumnya, terdapat beberapa jenis karangan, misalnya penceritaan (naratif) dan penghujahan (persuasif). Setiap bentuk karangan mampu memberi impak yang positif terhadap pembaca seandainya ia digarap menggunakan panduan yang berkesan.

Fahami tujuan penulisan karangan anda

Langkah pertama yang perlu diambil adalah memahami kehendak soalan sekiranya ia merupakan tugasan yang akan dinilai. Setiap kali menulis karangan, anda perlu memahami tujuan penulisan sesuatu karangan dengan jelas tanpa mengira bentuk karangan yang ditulis.


Kenal pasti pembaca sasaran

Kemampuan untuk mengenal pasti lingkungan pembaca sasaran karangan anda ialah satu kelebihan yang berguna. Pembaca yang memiliki kepakaran dalam topik tulisan anda mampu memahaminya dengan mudah. Kegagalan mengenal pasti pembaca sasaran menyebabkan anda perlu menghuraikan idea yang sukar difahami pembaca dan mencari contoh yang sesuai dengan konteks pemahaman pembaca.


Perincikan topik karangan anda

Catat segala idea berkaitan topik karangan anda. Sesetengah penulis akan menyenaraikan idea mereka dalam bentuk nota atau peta minda. Tujuannya agar anda mampu mencatat sebanyak mungkin idea sebelum mula menulis. Sekiranya anda buntu, anda boleh merujuk surat khabar, televisyen, atau Internet untuk mendapatkan ilham.


Tentukan penyataan tesis

Penyataan tesis merupakan hujah utama berkaitan topik penulisan anda. Kebiasaannya, ia diletakkan pada perenggan pengenalan. Rujuk nota yang mengandungi idea anda untuk mendapatkan tema utama yang ingin diketengahkan. Huraikan tema tersebut dalam bentuk ayat kompleks dan masukkan keterangan dan justifikasi pendirian utama anda. Anda harus bersedia untuk mengubah penyataan tesis anda selepas meneliti semua idea dengan lebih mendalam.


Bina struktur karangan dengan teliti

Susun karangan anda berdasarkan matlamat dan bentuk penulisan esei anda. Sekiranya anda ingin menulis karangan berbentuk naratif, anda harus menyusun bahan penulisan anda mengikut turutan kronologi dan wujudkan kesinambungan antara isi karangan. Setiap karangan memiliki bahagian permulaan, isi dan penutup. Tetapi, tidak semua karangan memerlukan pengenalan atau kesimpulan secara formal.


Gunakan gaya bahasa yang mudah diingati

Pilih daftar kata yang konkrit dan jelas. Sekiranya anda menulis mengenai kereta, pembaca tidak akan mengetahui rupa fizikal kereta tersebut sekiranya anda tidak menceritakan perihal kereta itu secara terperinci. Perkataan yang konkrit dan jelas memudahkan pembaca mengingati mesej yang anda ingin sampaikan kepada mereka.


Cipta tajuk karangan yang menarik

Setiap orang mempunyai urusan tersendiri, justeru karangan anda bukanlah karya yang mesti dibaca. Oleh itu, anda perlu berusaha mencipta tajuk karangan yang menarik perhatian pembaca dengan kreatif dan kritis, contohnya  soalan retorik. Anda juga harus pastikan tajuk karangan anda selari dengan topik karangan dan mudah dicari di Internet menerusi penerbitan maya.


Semak kembali karangan anda

Setelah selesai menulis, anda perlu menyemak kembali karangan anda. Pertama sekali, baca karangan anda dengan suara yang jelas. Sekiranya wujud frasa yang kedengaran janggal, maka frasa tersebut harus diperbaik. Pastikan karangan anda bebas dari kesalahan tatabahasa, ejaan dan tanda baca. Sekiranya anda berpuas hati dengan karangan anda, minta bantuan rakan anda untuk memeriksa kembali karangan tersebut.



>>Baca lebih lanjut tip-tip penulisan, tatabahasa, dan penggunaan dari Oxford Living Dictionaries>>


Pendapat dan maklumat lain yang terkandung dalam catatan dan komen blog OxfordWords tidak semestinya menggambarkan pendapat atau pendirian Oxford University Press.

Dikuasai oleh Oxford